Blog

PENDIDIKAN AWAL KANAK KANAK DI MALAYSIA

ECE

Daftar Program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak <------ Klik

Kanak-kanak di Malaysia memulakan pendidikan  luar rumah di Taman Asuhan Kanak Kanak yang lebih dikenali sebagai TASKA atau ‘nursery/child care centre’. Kebanyakan ibu-bapa di Malaysia menghantar anak-anak mereka yang berusia emapat tahun ke bawah ke TASKA, di sana kanak-kanak mula mendapat pendidikan secara tidak formal dengan  bermain dan beraktiviti bersama rakan sebaya dan pengasuh. Peringkat seterusnya di usia 5 hingga 6 tahun, kanak-kanak di Malaysia akan mula memasuki sistem pendidikan secara formal di Taman Didikan Kanak Kanak yang juga dikenali sebagai TADIKA atau ‘kindergarten’. Terdapat dua kategori tadika di Malaysia iaitu tadika swasta dan tadika kerajaan. Di peringkat ini kurikulum pembelajaran mestilah mengikut Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) yang  bertujuan menyediakan pengalaman pembelajaran kepada murid-murid yang berumur antara empat hingga enam tahun bagi menyuburkan potensi mereka dalam semua aspek perkembangan, menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap positif sebagai persediaan masuk ke sekolah rendah. Pihak kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia bertanggungjawab melaksanakan dasar-dasar dan garis panduan untuk mengawalselia kurikulum, kelayakan guru, dan standard keselamatan dalam institusi pendidikan ini. Langkah-langkah ini adalah untuk memastikan semua kanak-kanak mempunyai akses kepada pendidikan awal kanak-kanak berkualiti tanpa mengira latar belakang dan status sosio ekonomi mereka.

 

 

Mengapa Pendidikan Awal Kanak Kanak sangat penting?

Pendidikan Awal Kanak Kanak sangatlah penting kerana pada usia ini otak anak-anak masih dalam tahap pembentukan awal. Pertumbuhan sel-sel otak yang pesat  adalah tempoh dimana ‘neural connections’ atau hubungan sel-sel otak berkembang dengan pantas. Pada tahap ini, anak-anak memiliki kepekaan yang luar biasa terhadap rangsangan dari lingkungan mereka. Mereka menyerap dan memproses pengetahuan dan maklumat dengan cepat dan ini mengasah kemahiran kognitif , kecerdasan sosial dan emosi mereka pada peringkat awal dalam memahami dunia di sekitar.  Melalui sokongan dan pendidikan yang sesuai, anak-anak boleh mencapai tahap kecerdasan yang lebih tinggi , oleh itu pendidikan awal kanak-kanak bukan hanya tentang memenuhi keperluan asas tetapi juga tentang memupuk potensi tersembunyi yang ada pada anak-anak.

Sebagai ibu bapa dan pendidik, adalah sangat penting untuk memahami impak pendidikan awal kanak kanak terhadap perkembangan kanak-kanak. Kita perlu merebut peluang ini untuk memberikan dan menyediakan pengalaman pendidikan yang sesuai pada tempoh penting ini  agar kita dapat membentuk sikap mereka untuk sentiasa bermotivasi terhadap pembelajaran sepanjang hayat. Selain itu, ibu bapa dan pendidik juga perlu menilai perkembangan anak dan mengambil kira perbezaan individu, setiap kanak-kanak mempunyai keperluan unik, dan kita perlu mengenalpasti dan mengakui kekuatan dan kelemahan mereka. Ini membolehkan kita menyediakan sokongan dan medium pembelajaran yang sesuai untuk setiap kanak-kanak dalam usaha mereka belajar dan berkembang.

Sebagai penyedia perkhidmatan pendidikan awal kanak-kanak dan pengusaha TASKA dan TADIKA, adalah penting untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan dan selamat. Pembelajaran dalam bentuk aktiviti bermain, explorasi dan seni boleh membantu mengembangkan motor kasar dan halus, kreativiti dan pemikiran kritis. Selain itu adalah penting untuk menyediakan persekitaran yang stabil dan selamat agar proses pembelajaran tidak menganggu perkembangan emosi kanak-kanak.

Satu lagi aspek yang sangat penting dalam pendidikan awal kanak-kanak ialah peranan ibu -bapa. Ramai ibu bapa beranggapan bahawa pendidikan anak-anak mereka bermula pada hari pertama anak di hantar ke TASKA, namun hakikat sebenar ialah pendidikan bermula dari rumah dan ibu-bapa lah guru pertama bagi anak sendiri. Interaksi positif dan sokongan dalam kehidupan seharian anak-anak sangatlah penting, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk bermain bersama dan berbicara dengan anak-anak, ini secara tidak langsung juga membantu perkembangan bahasa serta mengeratkan ikatan di antara ibu-bapa dan anak. Ibu-bapa juga merupakan ‘role model’ kepada anak-anak dan tingkah laku dan percakapan ibu bapa di rumah memberi impak kepada pertumbuhan anak-anak, ibu bapa yang memahami kepentingan pendidikan awal kanak-kanak dapat memberikan contoh dan teladan yang baik, mendedahkan perkara yang baik dan mengajarkan kemahiran mengurus diri  kepada anak-anak mereka. 

Kebelakangan ini isu kepentingan pendidikan awal kanak-kanak lebih dipandang serius oleh banyak pihak, terdapat beberapa aspek yang memerlukan perhatian dan peningkatan dalam pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia. Salah satu cabaran utama ialah menyediakan perkhidmatan inklusif dan akses yang sama rata kepada semua kanak-kanak , termasuk mereka yang mempunyai kelainan upaya atau yang berasal dari komuniti yang terpinggir. Adalah penting  bagi pembuat dasar dan pendidik untuk bekerjasama untuk mengatasi cabaran ini. Usaha yang lebih gigih perlu dilaksanankan bagi menyediakan perkhidmatan sokongan khas dan sumber yang diperlukan untuk memastikan setiap kanak-kanak menerima pendidikan yang disesuaikan dengan keperluan individu. Keutamaan perlu diberikan kepada infastruktur, pembangunan kurikulum dan program latihan guru agar  sistem pendidikan yang sedia ada lebih berkualiti dan dapat memenuhi keperluan pelbagai bagi semua kanak-kanak.  Pendidikan awal yang berkualiti membantu kanak-kanak membina landasan yang kukuh untuk mencapai potensi penuh mereka di masa hadapan.

Comments powered by CComment

Search