Hampir 100 graduan SIDMA College bakal diraikan dalam Majlis Konvokasyen 2025 yang berlangsung di Kompleks Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah pada 29 Oktober 2025 ini.
Konvokasyen kali ini melibatkan graduan daripada empat program utama iaitu Diploma in Early Childhood Education, Diploma in Management, Diploma in Sports Management serta Diploma in Occupational Safety and Health (OSH). Penganugerahan ini menjadi bukti pencapaian pelajar menamatkan pengajian, selain menjadi titik permulaan perjalanan mereka dalam dunia kerjaya.
Program yang ditawarkan oleh SIDMA College terus kekal relevan dengan keperluan semasa. Bidang pendidikan awal kanak-kanak misalnya, semakin mendapat permintaan tinggi selaras dengan usaha memperkukuh pendidikan prasekolah. Sementara itu, graduan dalam bidang pengurusan diyakini mampu menyumbang kepada pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS) yang merupakan tulang belakang ekonomi negeri.
Dalam masa sama, industri sukan di Sabah yang semakin rancak membuka ruang kepada graduan Diploma in Sports Management untuk terlibat dalam pengurusan acara dan fasiliti. Graduan OSH pula berpeluang luas dalam sektor pembinaan, perindustrian dan minyak & gas, seiring dengan peningkatan kesedaran terhadap kepentingan keselamatan pekerjaan.
Menurut pihak kolej, kejayaan para graduan bukan sahaja memberi kebanggaan kepada keluarga dan pensyarah, malah menyumbang kepada usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi. Ia selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya dan agenda Malaysia Madani, yang menekankan pembangunan modal insan sebagai asas kemajuan negeri dan negara.
Majlis Konvokasyen 2025 ini dijangka berlangsung penuh meriah dengan kehadiran keluarga graduan, tenaga akademik, serta wakil industri sebagai saksi kepada detik bersejarah dalam kehidupan para graduan.
Laman Rasmi Konvokasyen SIDMA College 2025